BUKU KANSER PAYUDARA TEMAN KE AKHIR HAYAT
Khas untuk para wanita, sama ada penghidap kanser payudara ataupun individu yang sihat, buku Kanser Payudara Teman ke Akhir Hayat karya Dr. Hasanah Binti Che Ismail ini mampu menyuntik semangat baru serta kesedaran daam penjagaan kesihatan. Dr. Hasanah merupakan seorang pakar psikiatri dan seorang profesor di Universiti Sains Malaysia.
Yang menariknya, buku ini bermula dengan kisah bagaimana watak tersebut menerima berita pahit ini dan belajar menerima takdir yang menimpa hidupnya dengan semangat dan kekuatan. Seterusnya pengarang terus berkongsi cerita, maklumat serta ilmu tentang penyebab kanser payudara yang lewat dikesan, jenis kanser payudara, sama tetapi tidak serupa, rawatan definitif, faktor penentu kualiti hidup semasa rawatan, permulaan selepas tamat rawatan dan makna kanser yang sebenarnya.
Selain itu, buku ini juga mengandungi maklumat tentang aspek pemakanan, stres dan kanser payudara, pengajaran daripada breast, kanser payudara dan hubungan seks hinggalah kepada isu apabila kanser bertandang kembali, semuanya didedahkan oleh pengarang secara jujur. Beliau seorang doktor, maka segala perkongsian maklumat tentang kanser payudara ini disampaikan secara tepat dan meyakinkan, serta istilah yang digunakan adalah betul dan tepat.
Buku ini amat bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat, dari dalam kalangan doktor dan pelajar perubatan, pesakit kanser payudara dan masyarakat umum, tidak kira lelaki atau perempuan, semua orang mestinya memiliki dan membaca ini untuk mengelakkan diri dan ahli keluarga atau orang yang terdekat daripada diserang penyakit kronik. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati, maka buku inilah yang sewajarnya dijadikan teman dan motivasi diri untuk menjamin kesihatan yang berpanjangan.
Membaca buku ini terasa seperti membaca buku fiksyen, seperti novel yang memberikan kesan emosi kepada pembacanya, kerana bahasanya yang mudah dan menarik, tidak dirumitkan dengan istilah perubatan yang mengganggu pemahaman kelancaran pembacaan. Buku ini amat memberikan kesedaran, keinsafan dan pengajaran kepada pembaca. Susunan bab buku menepati dan berkesinambungan antara satu bab dengan bab yang lain. Pengembangan isi ceritanya juga teratur dengan pemerengganan yang jelas dan dijalin dengan baik antara perenggan dengan perenggan yang seterusnya. Glosari turut disertakan bagi memudahkan pembaca memahami istilah perubatan.
Oleh itu, bacalah dengan mata hati, barulah segala-galanya bererti dan kita pun mengerti bahawa perjalanan kehidupan ini dalam aturan Ilahi. Semoga buku ini dapat menginspirasikan hidup kita.. :)
No comments:
Post a Comment